Sunday, 26 April 2015

Leukimia Bermula dengan Demam Panas

Kisah Sarah yang menghidap Leukimia dari Harian Metro..hanya bermula dengan demam panas...jadi ibu-ibu jangan ambik ringan jika anak demam panas...sangat bahaya...kita ikuti kisah si anak kecil Nur Sarah...

.......................................................................


Usianya baru mencecah sembilan tahun, tetapi kanak-kanak ini sudah diuji apabila didiagnosis positif Leukemia Limfoblastik Akut (ALL). ALL adalah sejenis leukemia atau kanser sel darah putih yang dicirikan oleh limfoblas berlebihan.

Bermula dengan hanya simptom demam panas selama seminggu, Nur Sarah Alia Afizi akhirnya ditahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan perlu menjalani rawatan susulan.

Ibunya, Azlina Abdul Aziz, 38, berkata, pada awalnya anak sulung daripada dua beradik itu hanya demam panas dengan suhu 37.5 darjah Celsius, disusuli lebam pada tubuh badannya.

“Apabila dibawa ke hospital untuk melakukan ujian darah, saya terkejut kerana hasil ujian menyatakan anak saya didiagnos leukemia. Bagaikan tidak berpijak di bumi ketika doktor memberitahu perkara itu.

SARAH anak sulung dari dua beradik demam panas disusuli lebam seluruh badan sebelum disahkan menghidap leukemia.


“Ketika lahir, anak saya normal seperti bayi lain. Tidak sangka apabila usianya meningkat dewasa, dia disahkan menghidap leukemia,” katanya ketika ditemui di PPUM, baru-baru ini.


Menurut pensyarah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu, perasaan sedih menghantui diri apabila anaknya disahkan menghidap leukemia.

Disebabkan Sarah memerlukan penjagaan rapi, Azlina terpaksa mengambil ‘cuti’ tanpa gaji selama enam bulan bagi menjaga permata hatinya di hospital.

“Saya sedih mengenangkan anak yang dulunya ceria kini menjadi pendiam, malah jiwanya sensitif berbanding sebelumnya. Ada kala Sarah bertanya saya mengenai penyakit dihidapinya.

“Pada awalnya memang sukar untuk memberitahu, namun saya dan suami mengambil langkah dengan membelikannya buku cerita mengenai penyakit leukemia.

“Bermula saat itu, Sarah semakin memahami penyakit leukemia,” katanya yang menjaga puterinya secara bergilir-gilir dengan suaminya di hospital.

Azlina berkata, Sarah perlu menjalani rawatan selama dua tahun, termasuk enam bulan bagi rawatan intensif dan enam bulan bagi kemoterapi, di samping pemindahan tulang sum-sum serta mengambil ubat setiap hari dengan belanja lebih RM7,000 sebulan.

“Mulanya, saya tak kuat untuk menghadapi ujian ini. Mujur suami dan keluarga banyak memberi kata semangat dan dorongan. Ada juga terfikir, jika saya tidak kuat, bagaimana pula dengan Sarah.

“Untuk itu, saya perlu menjadi kuat dan tabah di depan Sarah kerana dia sememangnya memerlukan sokongan daripada keluarganya untuk melawan penyakit ini,” katanya sebak.

Sejak anaknya didiagnosis menghidap leukemia, Azlina banyak menghabiskan masa mencari maklumat mengenai terapi dan rawatan penyakit itu.

Sama ada melalui tradisional mahupun moden, dia dan suami berusaha untuk mendapatkan alternatif terbaik buat Sarah.

“Ada kala, saya berasa kasihan dan sedih melihat keadaan Sarah, terutama selepas kemoterapi. Ini kerana, setiap kali selepas rawatan itu, dia akan bertanya mengapa rambutnya luruh.

“Namun selepas beberapa kali melaluinya di samping bahan bacaan mengenai kesan kemoterapi, saya terangkan kepadanya dan syukur, Sarah anak yang tabah dan kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pediatrik, Haematologi dan Onkologi PPUM, Prof Hany Ariffin memberitahu, PPUM adalah pusat kanser kedua terbesar untuk kanak-kanak di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Leukemia adalah penyakit paling biasa menyerang kanak-kanak. Kira-kira 80 hingga 85 peratus mengalaminya. Namun, kanak-kanak lelaki lebih berisiko mendapat penyakit ini di seluruh dunia.

“Pesakit paling muda pernah dirawat sekitar usia enam minggu manakala di peringkat global, pesakit leukemia lazimnya berusia dua hingga lima tahun,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini punca penyakit leukemia masih belum diketahui, namun ada yang mengaitkannya dengan jangkitan virus, dan tidak kurang juga ada yang mengaitkannya dengan persekitaran.


Apa itu leukemia?

Leukemia adalah barah sel darah putih dan ia boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam tulang sum-sum. Sel darah putih dihasilkan secara semula jadi.

Bagi pesakit leukemia, proses pengeluaran sel darah putih terganggu. Sel tidak matang dan terus membahagi dan membiak. Ia sebahagian daripada kumpulan penyakit yang dikenali sebagai neoplasma hematologi atau Hematological Neoplasm.


Tanda dan gejala

Lemah dan letih
Lesu
Kurang selera makan dan kurang berat badan
Bengkak dan gusi berdarah
Sakit kepala
Abdomen bengkak disebabkan oleh pembesaran hati dan limfa
Sakit tulang, boleh menyebabkan kelemahan
Sakit sendi
Kelenjar membengkak


Jenis leukemia

Leukemia boleh jadi akut (merebak dengan cepat) atau kronik (merebak perlahan). Pada kanak-kanak, lebih kurang 95 peratus adalah leukemia akut.

Leukemia lymphocytic akut yang juga dikenali sebagai ALL paling biasa pada kanak-kanak

Leukemia Myelogenous akut atau AML lebih banyak terjadi dalam kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak

Leukemia Limfosit kronik (CLL) sering menimpa orang dewasa yang berumur lebih 55 tahun. Ada kala ia berlaku pada orang dewasa yang lebih muda, tetapi ia jarang membabitkan kanak-kanak

Leukemia myelogenous kronik (CML) biasanya berlaku pada orang dewasa saja. Hanya segelintir kanak-kanak dikesan mengalami penyakit ini

Leukemia akut adalah jenis barah paling biasa yang berlaku pada kanak-kanak dan penyebab utama kematian mereka. Satu pertiga daripada kanak-kanak yang mengalami barah adalah daripada jenis leukemia


Diagnosis leukemia

Pemeriksaan fizikal dan latar belakang yang menyeluruh. Doktor akan memeriksa kanak-kanak untuk menilai tahap kesihatannya dan mengesan tanda penyakit seperti pucat, pendarahan, bengkak hati, limfa dan nodus limfa.

Sejarah penyakit dan rawatan lalu juga diambil kira. Jika disyaki leukemia, doktor akan menjalankan ujian complete blood count (CBC) bagi mengira jumlah sel darah putih, hemoglobin, hematokrit, dan jumlah platelet daripada sampel darah.


Jika keputusan darah menunjukkan leukemia, pengambilan sampel tulang sum-sum dan biopsi akan dilakukan bagi mengesahkan penyakit dan jenis leukemia.

Ini dilakukan dengan cara menyuntik jarum ke dalam tulang punggung leper untuk mendapatkan sampel darah tulang sum-sum dan cebisan tulang. Pakar hematologi akan menguji sampel darah berkenaan untuk melihat kehadiran sel leukemia.


Ujian tambahan kemudian dijalankan ke atas sampel ini untuk menentukan jenis dan subjenis leukemia. Analisis Citogenetik juga dilakukan untuk mengesan kromosom yang tidak normal dalam sel leukemia. Ujian ini akan membantu doktor dalam merancang rawatan untuk pesakit.


Rawatan leukemia kanak-kanak dilakukan secara berperingkat-peringkat

Terapi Induksi: Ini adalah fasa pertama rawatan. Tujuannya untuk membunuh sel leukemia dalam darah dan tulang sum-sum.

Terapi konsolidasi atau pengukuhan pula adalah fasa kedua dalam rawatan. Bermula apabila leukemia berada dalam keadaan remision. Tujuan terapi ini untuk membunuh sel leukemia yang tertinggal dan mencegah daripada menjadi alah kepada rawatan.

Terapi berterusan (maintenance therapy): Ini adalah fasa ketiga rawatan. Ia dilakukan sebagai pesakit luar. Kemoterapi diberi secara lisan dan dalam dos lebih rendah daripada digunakan untuk induksi dan konsolidasi.

Rawatan biasanya diberi untuk tempoh dua hingga tiga tahun. Oleh kerana kanak-kanak lelaki secara umumnya menunjukkan tindak balas lebih rendah berbanding perempuan, rawatan untuk kanak-kanak lelaki lebih lama. Kanak-kanak yang menghidap ALL mempunyai peluang baik untuk sembuh. Kebanyakan pusat rawatan kini melaporkan kadar 90 peratus peluang sembuh untuk pesakit yang mempunyai risiko.

Kesan sampingan akibat daripada rawatan boleh berlaku sama ada pada jangka masa pendek atau panjang. Terapi radiasi ke atas kepala misalnya, boleh memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak dan boleh menyebabkan barah lain berlaku. Oleh itu, pemeriksaan berkala sangat penting.


Sumber: Kementerian Kesihatan

- See more at: http://www2.hmetro.com.my/articles/Bermuladengandemampanas/Article/#sthash.KkshGzjA.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
FARWIZAH M.I.D LOVE'S Copyright © 2015 Designed by NH Design