Saturday, 4 October 2014

7 Tips Murah Rezeki

Tips Murah Rezeki

#1- Mohon Keampunan Dari Allah SWT dan Bertaubat Dari Dosa
Sepertimana yang kita ketahui, memohon keampunan dari Allah SWT adalah sangat penting untuk mencari redha-Nya dalam usaha menggali rezeki kita. Ia umpama menjadi benih bagi pohon rezeki yang kita telah tanam dan usahakan. Sekiranya kita sentiasa memohon keampunan Allah SWT, maka makin suburlah benih rezeki yang akan tumbuh. Pohonlah keampunan dari Allah SWT atas segala dosa dan kesilapan kita. Tidak perlu bertangguh untuk bertaubat. Memang benar, pintu taubat sentiasa terbuka selagi Hari Kiamat belum menggegarkan dunia ini, namun begitu jangan sampai kita terlewat. Allah SWT pasti akan mengampunkan dosa Hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh. Mohonlah hanya kepada Allah secara “direct.”
#2 – Mohon Keampunan Sesama Manusia.
Satu lagi tugas utama kita, iaitu mohon keampunan sesama manusia. Allah SWT Maha Pengampun dan sedia memaafkan dosa-dosa hamba-Nya, namun dosa kita sesama manusia hanya manusia itu sendiri yang dapat mengampunkannya. Contoh dosa sesama manusia, mengumpat, mengutuk, hasad dengki, mencuri, merompak dan sebagainya. Rasulullah s.a.w menjelaskan mengumpat ini dalam sabda Baginda yang bermaksud :
“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (Hadith Riwayat Muslim)
Dosa mengumpat membinasakan amal kebaikan ibarat api membakar kayu kering
Dari Jabir dan Abi Said, Rasulullah s.a.w bersabda: “Awaslah daripada mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. Sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat, maka diterima Allah swt akan taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.”
Maka, Hadith ini telah menjelaskan bahawa perbuatan mengumpat itu lebih berat dosanya daripada perbuatan zina. Dosa penzina hanya Allah SWT yang mengampunkannya, kerana dosa ini berkaitan manusia dengan Penciptanya, namun dosa mengumpat hanya dapat diampunkan oleh orang yang diumpat. – Huraian ini menunjukkan bahawa ia merupakan kunci kedua yang paling utama untuk menyuburkan lagi pohon rezeki yang telah kita tanam pada kunci #1.
#3 – Mohon Keampunan dan Doa Ibu Bapa
“Syurga Itu Dibawah Tapak Kaki Ibu!” Suatu masa seorang lelaki termenung memikirkan nasib hidupnya. Seringkali, ditimpa masalah. Selepas muhasabah diri, terdetik di hatinya, mungkin ada sedikit hati ibu dan bapanya pernah rasa terguris, dan mungkin beliau terlepas pandang atau tidak sengaja meninggikan suara. Hati orang tua memang agak sensitif, dan sangat memerlukan kesabaran dalam melayani karenah mereka. Kita seharusnya melayan sebaik-baiknya kerana bakti ibu yang melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga dewasa dan berjaya, amat tidak ternilai harganya. Mohonlah keampunan dari kedua-dua ibu bapa. Insya-Allah, rezeki akan dikurniakan bak bunga wangi yang mekar menguntum.

#4 – Solat Sunat Dhuha
Solat sunat Dhuha termasuk dalam kandungan Hadith Rasulullah s.a.w sebagai amalan yang digalakkan untuk diamalkan. Mengikut kajian, Solat Sunat Dhuha yang dilakukan pada awal pagi hari mempunyai rahsia dan khasiat tersendiri. Gelombang warna pada waktu Dhuha adalah dalam mod warna kuning, iaitu berkait rapat dengan rezeki dan kebolehan komunikasi seseorang. Individu yang sentiasa mengamalkan Solat sunat Dhuha akan lebih cenderung dan berkebolehan berkomunikasi dengan hebat dan mampu menjadi “magnet rezeki.” Rezeki akan lebih mudah mendekati mereka (dengan izin Allah).
#5 – Menjaga Amal Makruf, Solat 5 Waktu dan Banyakkan Berzikir
Seperti yang umum sedia maklum, zikir mampu mendekatkan lagi kita kepada Allah SWT. Zikir bermaksud mengingati Allah SWT. Tidak kira melalui perbuatan seperti melakukan solat dan amal soleh atau melalui perkataan seperti melafazkan zikrullah. Allah SWT amat menyayangi Hamba-Nya yang sentiasa mengingati-Nya. Allah SWT menjanjikan bantuan dan pertolongan buat para Hamba-Nya yang sentiasa menunaikan solat, bersabar dengan segala ujian-Nya dan yang sentiasa mengingati-Nya walaupun dalam keadaan susah mahu pun senang. Segala amalan juga haruslah kita jaga, yang baik kita perbanyakkan dan yang haram kita jauhkan.
#6 – Banyakkan Bersedekah
Percayalah bahawa semakin banyak kita bersedekah, semakin Allah menambahkan rezeki kita. Sedekah dan zakat mempunyai rahsia tersendiri di mana ia dapat menyuburkan dan membersihkan rezeki yang kita terima. Maka, jangan takut atau kedekut untuk bersedekah (mengikut kemampuan). Lagipun, belum pernah kita terdengar orang muflis sebab bersedekah. Pegang prinsip bersedekah umpama menabung untuk saham akhirat nanti. Pahala yang terhasil dari amalan sedekah semakin hari semakin subur dan berpanjangan tanpa henti. Bersedekahlah dengan tulus ikhlas tanpa mengungkit-ungkit dan jauhkan diri dari bersedekah untuk mendapat nama. Peganglah prinsip “tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.”
#7 – Berdoa Bersungguh-sungguh Diwaktu Mustajab Berdoa
Doa adalah senjata orang mukmin. Setiap amalan dan usaha yang telah dilakukan haruslah diiringi dengan doa dan kemudiannya bertawakal kepada Allah SWT. Berdoalah kepada Allah agar memurahkan rezeki dan membukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya. Terdapat masa dan ketika di mana ia dikatakan waktu yang amat mustajab untuk berdoa. Antaranya ialah:
  • Doa orang yang teraniaya
  • Doa selepas solat 5 waktu
  • Doa waktu antara 2 khutbah Jumaat
  • Doa waktu solat dhuha
  • Doa diwaktu berjemaah
  • Doa seorang ibu
  • Doa ketika sedang sujud
Gunakanlah sebaik-baiknya senjata orang Mukmin ini. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan setiap doa kita supaya hidup lebih diberkati. Apabila hidup kita diberkati, maka mudahlah rezeki mengalir kepada kita. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
FARWIZAH M.I.D LOVE'S Copyright © 2015 Designed by NH Design